Tuesday 30 October 2012

Lama tak up date entry

Assalamualaikum

Agak lama juga cik Zah tak up date entry ni. Sibuk dengan tugasan harian sebagai surirumah dan belajar memasak di Kolej komuniti buat cik Zah lupakan seketika dunia blogger nie...bukan tak rindu nak berkongsi resepi cuma masa tak mengizinkan..

InsyaAllaj jika ada peluang cik Zah akan mulakan seperti biasa ya..

Dekat sini cik Zah nak selitkan beberapa aktiviti cik Zah sepanjang mendiamkan diri dari dunia blog..


Tempat cik Zah belajar


Antara teman kesayangan yang turut menuntut ilmu



Chilled Dessert


Pavlova


Macaron


Ini kelas penghasilan kek harijadi..yg berbadan dua tu cikgu muda...Pn Nuradibah..







Walaupun baru berkenalan tapi rasa macam dah bertahun bersama mereka mereka ni.


Cikgu Ku Hanisrahayu...terbaekk


Makcik Zah dok buat bahulu...hehehe

 cik Zah nak ucapkan berbanyak terimakasih pada seorang teman FB Puan Jenny yang bagi tahu dekat Kolej komuniti ni ada kelas masakan istimewa dan yuran murah berbanding tempat lain..walau pun murah kualiti sama seperti kelas masak harga vvip...hehehe. Kepada sesiapa yg teringin nak belajar atau menambah ilmu bolehlah berkunjung ke Kolej komuniti tempat masing masing.

Jumpa lagi di lain waktu jika di beri peluang

 

Thursday 2 August 2012

Ayam Goreng Serai

Assalamualaikum

Kali nie cik Zah masuk resepi Ayam Goreng Serai..cik Zah pernah letak resepi ni dalam entri yang lepas.



Atas permintaan adik angkat merangkap tukang gunting rambut cik Zah...Wann Noor...cik Zah masukkan sekali lagi resepi ni.

Alhamdulillah tak sangka ada juga kawan kawan baik cik Zah dok cuba resepi ringkas cik Zah nie..terimakasih.

Bahan bahan
4-5 ketul ayam (goreng garam kunyit)
2 ulas bawang putih*
3 biji bawang merah*
3 batang serai*
Sedikit halia*
7 biji cili padi* (kalau nak pedas tambah lagi)
Semangkuk santan
Garam dan gula secukup rasa

Cara memasak
1. Kisar bahan bertanda * kemudian tumis bahan bahan tersebut hingga garing.
2. Masukkan santan dan ayam. Tambah garam dan gula.
3. Masak sampai agak kering dan naik minyak.
4. Siap untuk di hidang.

Resepi ni pun sesuai kalau nak di hidangkan semasa hari raya. Boleh makan dengan nasi impit.




Selamat mencuba resepi ringkas nie


 


 

Kari Mamak Penang Style

Assalamualaikum

Dah beberapa hari tak ke udara di dalam entri nie. cik Zah dok bersilat buat tart nenas permintaan kawan kawan yang nak makan di bulan Ramadan. Di tambah dengan anak dara cik Zah deman dan selsema...keadaan tak mengizinkan cik Zah masukkan resepi baru.

Kali nie cik Zah masak Kari Mamak Penang Style. Kebetulan abang KB penggemar kari selain asam pedas dan masak lemak cili padi....semua ni gara gara bertemu jodoh dengan cik Zah lah. Kalau tidak kari menjadi pilihan ke empat atau ke lima kot.


Resepi hampir sama dengan kari ikan yang lain cuma tambah beberapa rempah yang boleh menaikkan lagi bau menyelerakan..

Bahan bahan
4-6 ketul ikan nyok nyok
1 peket rempah kari ikan Babas
2 ulas bawang putih*
5 biji bawang merah*
Sedikit halia*
2 biji cili merah* 
3 tangkai daun kari
2 sudu makan cili kering kisar
Semangkuk air asam jawa
1 sudu makan halba campur
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil jintan putih
1 cawan santan
Beberapa biji terung dan kacang bendi
Garam  secukup rasa

Cara Memasak
1. Panaskan minyak kemudian tumis cili merah kisar sampai naik bau. 
2. Kisar bahan bertanda * kemudian masukkan dalam cili merah yang di tumis tadi.
3. Masukkan halba campur dan daun kari.
4. Bila naik bau masukkan rempah kari ikan, cili kering kisar, jintan putih dan serbuk lada hitam. Biar garing baru masuk air asam jawa. Biar mendidih sampai naik minyak.
5. cik Zah suka masuk terung dulu supaya terung lembik sedikit..baru masukkan santan sedikit.
6. Masuk ikan biar mendidih baru masuk santan yang selebihnya. Tambah garam sebagai perasa dan bendi.


Makan kari mamak ni bertambah sedap jika di hidangkan dengan papedom dan ayam goreng bumbu..


Nampak tak tengkuk ayam tuu..itu bahagian yang cik Zah suka..resepi ayam bumbu ni cik Zah pernah masukkan dalam entri sebelum ni..sedap dan mudah


Selamat mencuba..



Saturday 28 July 2012

Jenahak Masak Cabai

Assalamualaikum..



Alhamdulillah hari nie dah masuk ramadan ke 8 kita umat Islam berpuasa. Sekejap masa berlalu. Dulu masa zaman kanak kanak awat rasa lambat posa..la ni pejam celik pejam celik dah 8 hari. Aduhh...biskut yang orang oder masih dok jadi tepung lagi. Mood nak buat biskut tak mai lagi..mungkin setiap hari cik Zah dok kalut buat juadah untuk jualan di bazar ramadan. Nak tau cik Zah jual apa...opps cik Zah tumpang letak saja..adik ipar cik Zah yang jadi taukeh..

Inilah..


Cream caremal...satu rm1..alhamdulillah bisnes di bulan ramadan nie memanjang laris...semua orang lapar kot. Tapi cik Zah buat cream caremal nie mengikut sukatan yang cik Zah pi belajar dekat Taman TAR Ampang..Hasmanoor Culinary..jadi sesiapa yang makan pasti nak lagi..hihihihi.

Okeylah berbalik pada tajuk entri cik Zah kali nie..Jenahak masak cabai...malas dah nak masak sambal tumis. Awat la sejak bulan posa nie cik Zah meluat dengan sambal tumis.

Resepi nie turun temurun dari opah cik Zah..memang kegemaran cik Zah lah kalau dapat masak cabai nie. Tak kisah ikan apa sekali pun. Kebetulan abang KB pi market dia suka ikan ketul ketul..dah jemu dengan ikan nyok nyok dia beli pulak ikan jenahak..

Resepinya..

Bahan bahan
2-3 ketul ikan jenahak - di goreng
5 bji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
sedikit halia*
3 biji cili merah*
5 biji cili padi* 
2 batang serai 
sekeping asam keping
Garam dan gula
Daun sup dan daun bawang
minyak - untuk menumis

Cara menyediakan
1. Kisar bahan bertanda *
2. Panaskan minyak. Tumis serai yg di ketuk.
3. Masukkan bahan yang di kisar. Masak sampai wangi.
4. Masukkan asam keping, garam,gula dan sedikit air.
5. Bila nampak sambal naik minyak masukkan ikan dan kacau sebati. 
6. Tabur daun bawang dan daun sup. 



Selamat mencuba. Resepi nie pun sedap kalau buat untuk bersahur..




Wednesday 25 July 2012

Rendang Pedas Udang

Assalamualaikum..

Hangat sungguh hari hie..tahap malas nak masak pun ada tapi tanggungjawab sebagai tukang masak tetap di dapur nie terpaksa juga cik Zah laksanakan..

Hari nie masak rendang pedas udang menggantikan sambal tumis udang yang selalu cik Zah masak. Sekali sekala di bulan puasa kita ubah menu pulak.


cik Zah pernah masukkan dalam entri resepi tapi baca nak memudahkan cik Zah masukkan sekali lagi ya resepi mudah ni...khas untuk orang yang malas nak masuk dapur macam cik Zah hari nie..

Bahan bahan
1/2 kilo udang
7 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
3 batang serai*
2 sudu makan cili kisar
1 mangkuk santan pekat
2 helai daun kunyit dihiris rampai
Garam secukup rasa

Cara menyediakan
1. Kisar kasar bahan bertanda *
2. Masukkan dalam periuk bahan kisar, cili dan kunyit serbuk. Biar mendidih seketika baru masukkan santan dan udang.
3. Masak sampai naik minyak baru masukkan garam dan daun kunyit.

Selamat mencuba..

 

Sunday 22 July 2012

Ayam Percik

Assalamualaikum..


Alhamdulillah dah dua hari kita berpuasa. Seperti biasa cik Zah masak untuk keluarga. Bukan tak nak beli di bazar ramadhan tapi suami cik Zah lebih suka yang cik Zah masak walaupun menu yang simple saja.

Hari nie cik Zah berpeluang masak ayam percik yang ada dalam buku 365 resepi istimewa chef Hanieliza iaitu buku 1 hari 1 resepi.

Bahan A
1 ekor ayam (potong 4 bahagian)
3 cawan santan pekat ( dari sebiji kelapa)
1/2 cawan air asam jawa
1 makan teh halba
1 sudu teh halba
Garam secukup rasa

Bahan B (dikisar)
15 tangkai cili kering
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 inci halia
5 batang serai

Cara Membuat
1. Bersihkan ayam dan gaul bersam garam.
2. Masukkan ayam dalam kuali bersama bahan kisar, santan     pekat, halba, air asam jawa dan gula sehingga sederhana
    masak ( kuah tinggal sedikit). Pastikan rempah sebati
    dengan ayam.
3. Letak ayam atas pemanggang dan bakar garing.
4. Hidang bersama salad atau timun.


Ayam yang belum di bakar


Selamat mencuba


 

Friday 20 July 2012

Sambal Kering Ikan Bilis

Assalamualaikum..



Salam petang Jumaat. Tak sampai 24 jam lagi kita dah nak masuk bulan yang penuh keberkatan. Mudah mudahan bulan Ramadhan yang mulia nie kita sama sama dapat buat amal ibadat sebaik mungkin....InsyaAllah.

cik Zah tak ada buat apa apa persiapan bagai nak rak untuk menyambut Ramadhan. Lagi pun anak anak bujang semua di Kuala Lumpur...Fazri masih di UIA Gombak semester akhir. Dia kata tak perlu banyak duit poket sebab di UIA sepanjang Ramadhan terlalu banyak makanan untuk berbuka dan bersahur orang sedekah di masjid...Alhamdulillah rezeki di bulan puasa.

Yang Fadzuan pulak tak mau ambil cuti di awal puasa sebab dia rancang nak balik berpuasa di akhir Ramadhan dan kalau boleh nak sambut Syawal di Alor Setar. Tahun lepas tak berpeluang sebab baru kerja. 

Okey cik Zah tutup kisah anak anak yang jauh di mata. Kita cerita kisah yang di depan mata nak puasa...siapa lagi kalau bukan anak dara cik Zah...Nur Kamalia Aisyah. Dah mula terpengaruh dengan iklan ho ho ho Holick..dan coco crunch untuk bersahur..


Abang KB pulak...haa..dia lah yang minta cik Zah buat Sambal Kering Ikan Bilis..khas untuk pembuka selera waktu bersahur..makan dengan nasi panas dan telur goreng mata kerbau pun sedap..


Sebenarnya cik Zah tak pandai buat sambal kering nie. Di utara memang tak ada pun sambal kering macam nie. Bila dah kawin dengan abang KB baru tau. Belajar di mana? Tak belajar di mana pun hanya mendapat petua dari seorang kenalan dan tengok dalam buku masakkan. Cuba cuba dan cuba akhirnya menjadi.



Bahan bahan
Semangkuk ikan bilis*
7-8 biji cili padi*
2 ulas bawang putih*
5 ulas bawang merah*
2 sudu makan air asam jawa
Garam dan gula seculup rasa

Cara menyediakan
1. Tumbuk semua bahan bertanda * hingga lumat
2. Panaskan sedikit minyak kemudian tumis bahan tumbuk.
3. Masukkan air asam jawa, garam dan gula.
4. Masak sehingga garing dan terasa ranggup ikan bilis.

Mudahkan?

Di kesempatan nie cik Zah mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al Mubarak buat semua pengunjung blog Dari Dapur Ezzah. 




Thursday 19 July 2012

Bingka Berlauk

Assalamualaikum..


Lewat petang tadi cik Zah cuba buat Bingka Berlauk nie. Pertama kali cuba setelah teringin sangat nak makan. Kalau tak salah cik Zah dah lama cik Zah cari resepi Bingka Berlauk nie. Alhamdulillah setelah beli buku resepi 1 hari 1 resepi tulisan chef Hanieliza..cik Zah dah dapat resepi dan dapat rasa keenakkan bingka nie.

Kepada yang ingin cuba Bingka Berlauk nie cik Zah boleh bagi resepi supaya dapat merasakan keenakkannya..

Bahan A
1 cawan tepung gandum
3 sudu besar tepung jagung
3 cawan santan ataupun
(1cawan susu cair campur dengan 2 cawan air)
1 sudu teh garam
2 biji telur
1 sudu teh vanila
2 sudu besar keju cheddar (di parut)

Bahan B (Inti dan hiasan)
200gm daging kisar
2 biji ubu kentang (potong dadu)
1 labu bawang besar (potong dadu)
1 batang kecil karot (potong dadu)
1 sudu besar rempah kari
2 biji cili (dihiris)*
1 pokok daun bawang (dihiris)*
5 tangkai daun sup (dihiris)*
1 sudu minyak
Garam secukup rasa


Cara masak inti
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar hingga layu.

2. Masukkan daging kisar. Kacau rata kemudian masuk   serbuk kari. Kari rata sekali lagi.

3.  Masukkan kentang, lobak merah dan garam. Masak sampai lembut dan kering.


Cara membuat bingka
1. Campur tepung gandum, tepung jagung, telur, santan dan air. Blend sampai sebati. Masukkan dalam loyang 8x8 yang dah di sapu minyak terlebih dulu. Taburkan keju di atas.

2. Masukkan dalam ketuhar yang telah dipanaskan 180*c dan bakar selama 20 minit.

3. Keluarkan dan taburkan inti yang tersedia dan bakar lagi selama 25 minit atau sampai masak.

4. Sejukkan dan tabur daun bawang, daun sup, cili merah dan bawang goreng.



cik Zah rasa menu nie sesuai untuk keluarga. Memang sedap dan membuka selera. Lagi satu sukatan yang di beri betoi betoi menepati ukuran talam pembakar.

Terimakasih kepada chef Hanieliza sebab tak kedekut ilmu.

Selamat mencuba....: )

Tuesday 17 July 2012

Nasi Lemak Halba Bersama Rendang Hati Ayam Dan Sambal Paru

Assalamualaikum..

Dah makan tengahari ke belum?..cik Zah hari nie masak nasi lemak halba. Semua nie gara gara dok tengok entri blogger masakkan popular Cik Mat Gebu..perghh memang sedap.


Bahan bahan nak masak nasi lemak nie macam masak nasi lemak yang lain. Masuk bawang merah, bawang putih, halia, daun pandan, santan dan yang CMG tambah satu sudu teh halba dan ketuk serai sebatang.


Bila masak nasi lemak tentunya ada sambal tumis. Tapi hari nie permintaan abang KB..buat rendang hati ayam dan sambal paru. 


Rendang hati ayam nie cik Zah tumis bawang merah, bawang putih, halia dan serai yang cik Zah kisar kasar. Lepas tu cik Zah tambah separuh peket rempah rendang Babas dan satu sudu makan cili kisar. Masak sampai naik minyak dan garing baru cik Zah masukkan hati ayam. Agak masak sedikit baru cik Zah masukkan santan. Akhir sekali cik Zah hiris daun kunyit gaul sebati.


Sambal paru nie cik Zah kisar bawang merah, bawang putih, halia, serai dan cili merah. Semua bahan tu cik Zah tumis sampai wangi dan garing. Sebelum tu cik Zah rebus dan hiris nipis dulu paru lepas tu yang di gaul dengan garam kunyit dan goreng. Bila bahan tumis dah wangi baru masukkan paru dan sedikit air, garam, gula dan asam keping. 


Sudah semestinya bila makan nasi lemak kena ada kacang goreng, ikan bilis, telur rebus atau telur goreng dan timun.

Kalau rasa nak cuba nasi lemak halba CMG nie tak rugi tau sebab sedap. Rendang dan sambal tu resepi cik Zah bukan resepi CMG...sedap juga tau..hihihihi

 
 

Sagu Pandan Gula Melaka

Assalamualaikum..

Sat lagi dah nak buka puasa..kesempatan yang ada cik Zah masukkan satu lagi menu yang cik Zah masak tadi untuk berbuka dengan abang KB..


Ini pun percubaan pertama cik Zah selepas cik Zah teringin sangat nak makan. Bila puasa macam macam pulak teringin dah macam budak budak..


Mula sekali cik Zah masak sagu yang siap ada perasa pandan. Sagu nie ada jual dekat pasaraya. cik Zah masak secawan sagu dengan secawan tiga suku air.

Lepas tu cik Zah tuang dalam bekas bekas kecil tu untuk memudahkan cik Zah simpan dalam peti sejuk sebab sagu gula melaka nie sedap kalau kita makan sejuk..

Okey lepas tu cik Zah masukkan air gula melaka mengikut kesukaan kita lah nak manis letak banyak. cik Zah letak sedang sedang saja...manis sangat tak boleh nanti kena sakit kencing manis..

 
Lepas tu cik Zah campur satu sudu makan tepung beras, satu sudu teh tepung jagung, semangkuk santan, separuh mangkuk air...kacau sampai tepung sebati dengan santan lepas tu baru letak atas api yang perlahan sambil kacau hingga pekat..

Dah tu masukkan dalam bekas sagu dan air gula melaka tadi menjadi lapisan atas.

cik Zah nak bagi tau kalau tak mau air gula melaka timbul macam gambar di atas kita kena masak air gula tu pekat sikit...tengok cik Zah masak air gula tak cukup pekat sebab tu air gula tu naik atas.

  
 Adunan yang cik Zah beri di atas boleh dapat 16 bekas sagu. Kalau nak buat untuk keluarga yang kecil bolehlah ikut adunan yang cik Zah beri..

Selamat mencuba..

dan..

Selamat berbuka pada yang berpuasa..



Sunday 15 July 2012

Baldu Merah Ku Pahit

Assalamualaikum...


Aduii...apa yang tak kena pun tak tau lah. cik Zah ikut semua adunan kek nie mengikut sukatan yang di beri tapi terasa manis dan ada rasa pahit..

cik Zah rasa mungkin pewarna yang cik Zah guna dalam adunan kek nie tak bagus. cik Zah tak pernah buat kek red velvet nie tapi tekak nie teringin nak rasa sebab popular sangat...harga pun mahal. Pernah cik Zah tengok dalam entri blogger yang jual kek harga sebiji kek nie mencecah rm70...mahal tentu sedapkan..

Petang nie cik zah cubalah...tapi tak menjadi sebab pahit..InsyaAllah jika di izinkan cik Zah nak cuba lagi sampai menjadi..tak pasti sama ada pes warna merah tu atau butter milk yang tak elok..


Kek dah naik elok kembang macam cik Zah tapi rasa pahit tu menandakan kek nie ada yang tak kena..

Tak apa lah lain kali cik Zah cuba lagi...

 

Friday 13 July 2012

Kek Pisang Tanpa Mentega dan Telur

Assalamualaikum...

Dah siap untuk minum petang. Kebetulan ada beberapa biji pisang berangan yang dah masak ranum tapi tak ada yang sudi menjamah...agaknya terlalu banyak buah buahan di rumah nie...betik ada..rambutan ada..epal pun ada.
Dari terus busuk dan masuk tong sampah cik Zah try buat kek pisang yang tak perlu mentega dan telur. Mudah sangat cara membuatnya. 


Bahan bahan
3 cawan pisang yang di lenyek
3/4 cawan gula kastor
1/2 cawan tepung beras
2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh soda bikabonat
3/4 cawan minyak (cik Zah pakai minyak jagung)
secubit garam

Cara menyediakannya
1. Dalam satu bekas masukkan gula dan pisang. Kacau rata.
2. Ayak tepung gandum, tepung beras dan soda bikabonat.
3. Campur kesemua tepung kedalam bekas pisang dan gula.
4. Kacau sebati bersama secubit garam.
5. Masukkan minyak dan kacau perlahan lahan sehingga sebati semua adunan tadi.
6. Bakar dengan suhu 170*c selama 15 minit jika menggunakan paper cup. Dan 30 minit jika acuan besar.


Tabur coklat cip di atas sebagai hiasan


Siap di bakar


Kek pisang nie cik Zah dapat resepi dari seorang makcik yang tak lokek berkongsi resepi walaupun dia menjual kek nie setiap pagi...terimakasih makcik Yam.


Pesanan...
Jika guna pisang yang manis kurangkan sikit gula..nanti kek pisang jadi terlalu manis..

Thursday 12 July 2012

Masak Lemak Putih Pegaga Dan Sambal Udang Tempoyak

Assalamualaikum..



Dah lewat cik Zah baru nak up date entri hari nie. Orang sakit buat kerja lembab sikit lah...kita mana ada pembantu rumah boleh tolong cuci cuci lepas masak.
Okey hari nie cik Zah masak sesuatu yang tak pernah cik Zah masak. Kiranya nie resepi percubaan selepas tergoda tengok blogger masakkan popular satu Malaya..Cik Mat Gebu..CMG masak sambal udang dengan tempoyak...terliur bila tengok gambar..lepas tu Kak Ida blogger 1001 resepi pun try masak apa yang CMG masak..tentu sedap sambal udang tempoyak tu kan..


Tapi sambal udang tempoyak cik Zah nie nampak suram sikit...sebenarnya cik Zah tak berani nak letak banyak tempoyak dalam sambal tu sebab FIL cik Zah tak suka tempoyak..jadi cik Zah letak satu sudu setengah saja..bagi ada rasa sikit sikit...
Lepas tu cik Zah masak lemak putih pegaga...nie pun cik Zah baca dalam blog CMG...simple tapi sedap.


Masak lemak pegaga nie cik Zah campur dengan ubi keledek.

cik Zah rasa tak payah bagi resepi kot sebab semuanya mudah dan kacang jer nak masak apa yang cik Zah paparkan dalam entri kali nie. cik Zah masukkan gambar saja untuk tatapan pembaca..mana tau ada yang tergoda macam cik Zah...tengok gambar terus terliur..

Okey nanti cik Zah up date lagi entri nie dengan resepi..la nie dok sakit masak pun yang simple saja..

Jumpa lagi..


Warna Warni Makanan

Assalamualaikum..

Hampir empat hari cik Zah tak jengah entri..kekejangan kembali berperang di kaki kiri cik Zah. Hari nie rasa okey sikit. Walau bagaimanapun dapur tetap berasap cuma yang terhidang hanya yang ringkas saja.

Hari pertama


Mee goreng untuk makan malam. Siang hari cik Zah dengan Kamalia hanya panaskan kari tulang rusuk semalam makan dengan roti bakar. Abang KB dan FIL makan di luar. Tak tahan menanggung kesakitan pada hari pertama.

Hari Kedua


Abang KB beli durian...yummy tapi cik Zah tak berani makan banyak takut panas badan..cik Zah dok minum air halia sepanjang kejang kaki... dah macam orang berpantang siap berstokin sepanjang hari.
Tengahari tu cik Zah dan Kamalia makan nasi dengan telur mata kerbau letak kicap..potong bawang dan cili padi..perghh berselera sangat..seperti biasa abang KB dan FIL makan di luar.

Malamnya..


Adik ipar cik Zah...Shahrul Samsudin bagi pai epal yang dia buat..haa adik ipar cik Zah nie terror masak tapi dia diam tak mau tunjuk bakat terpendam tu..terimakasih adik ipar..kalau ada hantar lagi. Oopss nak komen sikit pai epal nie..hehehe serius sedap macam yang dekat Mc D.

Hari ketiga


Apo bendo nie wey..haa nie kuih seri muka pulut hitam percubaan pertama cik Zah. Semua nie gara gara dok baring baring sambil buka buku resepi..sesungguhnya cik Zah belum pernah cuba buat serimuka..
Tak menjadi sebab pulut hitam tu kena rendam semalaman tapi cik Zah rendam pagi tadi masa Kamalia nak pergi sekolah..lebih kurang 5 jam rendam dah masak. Rupanya kalau nak buat serimuka pulut hitam kita kena beli pulut hitam yang warnanya bercampur putih sedikit..
Tapi abang KB kata rasa sedap cuma pulut tu tak berapa kembang. Kalau buat pulut susu mesti sedap sangat..hehehe ayat nak ambil hati..


Macam mana pun dah tinggal separuh pelengat kami makan...bila cik Zah buat seri muka nie menjadi baru cik Zah masukkan resepi ya.. cik zah rasa kesilapan pada diri cik Zah sendiri sebab tak rendam pulut mengikut arahan..
Ini saja kot cerita cik Zah..

Jumpa lagi dengan resepi..
Doakan cik Zah sihat seperti biasa..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...