Saturday, 28 July 2012

Jenahak Masak Cabai

Assalamualaikum..



Alhamdulillah hari nie dah masuk ramadan ke 8 kita umat Islam berpuasa. Sekejap masa berlalu. Dulu masa zaman kanak kanak awat rasa lambat posa..la ni pejam celik pejam celik dah 8 hari. Aduhh...biskut yang orang oder masih dok jadi tepung lagi. Mood nak buat biskut tak mai lagi..mungkin setiap hari cik Zah dok kalut buat juadah untuk jualan di bazar ramadan. Nak tau cik Zah jual apa...opps cik Zah tumpang letak saja..adik ipar cik Zah yang jadi taukeh..

Inilah..


Cream caremal...satu rm1..alhamdulillah bisnes di bulan ramadan nie memanjang laris...semua orang lapar kot. Tapi cik Zah buat cream caremal nie mengikut sukatan yang cik Zah pi belajar dekat Taman TAR Ampang..Hasmanoor Culinary..jadi sesiapa yang makan pasti nak lagi..hihihihi.

Okeylah berbalik pada tajuk entri cik Zah kali nie..Jenahak masak cabai...malas dah nak masak sambal tumis. Awat la sejak bulan posa nie cik Zah meluat dengan sambal tumis.

Resepi nie turun temurun dari opah cik Zah..memang kegemaran cik Zah lah kalau dapat masak cabai nie. Tak kisah ikan apa sekali pun. Kebetulan abang KB pi market dia suka ikan ketul ketul..dah jemu dengan ikan nyok nyok dia beli pulak ikan jenahak..

Resepinya..

Bahan bahan
2-3 ketul ikan jenahak - di goreng
5 bji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
sedikit halia*
3 biji cili merah*
5 biji cili padi* 
2 batang serai 
sekeping asam keping
Garam dan gula
Daun sup dan daun bawang
minyak - untuk menumis

Cara menyediakan
1. Kisar bahan bertanda *
2. Panaskan minyak. Tumis serai yg di ketuk.
3. Masukkan bahan yang di kisar. Masak sampai wangi.
4. Masukkan asam keping, garam,gula dan sedikit air.
5. Bila nampak sambal naik minyak masukkan ikan dan kacau sebati. 
6. Tabur daun bawang dan daun sup. 



Selamat mencuba. Resepi nie pun sedap kalau buat untuk bersahur..




Wednesday, 25 July 2012

Rendang Pedas Udang

Assalamualaikum..

Hangat sungguh hari hie..tahap malas nak masak pun ada tapi tanggungjawab sebagai tukang masak tetap di dapur nie terpaksa juga cik Zah laksanakan..

Hari nie masak rendang pedas udang menggantikan sambal tumis udang yang selalu cik Zah masak. Sekali sekala di bulan puasa kita ubah menu pulak.


cik Zah pernah masukkan dalam entri resepi tapi baca nak memudahkan cik Zah masukkan sekali lagi ya resepi mudah ni...khas untuk orang yang malas nak masuk dapur macam cik Zah hari nie..

Bahan bahan
1/2 kilo udang
7 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
3 batang serai*
2 sudu makan cili kisar
1 mangkuk santan pekat
2 helai daun kunyit dihiris rampai
Garam secukup rasa

Cara menyediakan
1. Kisar kasar bahan bertanda *
2. Masukkan dalam periuk bahan kisar, cili dan kunyit serbuk. Biar mendidih seketika baru masukkan santan dan udang.
3. Masak sampai naik minyak baru masukkan garam dan daun kunyit.

Selamat mencuba..

 

Sunday, 22 July 2012

Ayam Percik

Assalamualaikum..


Alhamdulillah dah dua hari kita berpuasa. Seperti biasa cik Zah masak untuk keluarga. Bukan tak nak beli di bazar ramadhan tapi suami cik Zah lebih suka yang cik Zah masak walaupun menu yang simple saja.

Hari nie cik Zah berpeluang masak ayam percik yang ada dalam buku 365 resepi istimewa chef Hanieliza iaitu buku 1 hari 1 resepi.

Bahan A
1 ekor ayam (potong 4 bahagian)
3 cawan santan pekat ( dari sebiji kelapa)
1/2 cawan air asam jawa
1 makan teh halba
1 sudu teh halba
Garam secukup rasa

Bahan B (dikisar)
15 tangkai cili kering
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 inci halia
5 batang serai

Cara Membuat
1. Bersihkan ayam dan gaul bersam garam.
2. Masukkan ayam dalam kuali bersama bahan kisar, santan     pekat, halba, air asam jawa dan gula sehingga sederhana
    masak ( kuah tinggal sedikit). Pastikan rempah sebati
    dengan ayam.
3. Letak ayam atas pemanggang dan bakar garing.
4. Hidang bersama salad atau timun.


Ayam yang belum di bakar


Selamat mencuba


 

Friday, 20 July 2012

Sambal Kering Ikan Bilis

Assalamualaikum..



Salam petang Jumaat. Tak sampai 24 jam lagi kita dah nak masuk bulan yang penuh keberkatan. Mudah mudahan bulan Ramadhan yang mulia nie kita sama sama dapat buat amal ibadat sebaik mungkin....InsyaAllah.

cik Zah tak ada buat apa apa persiapan bagai nak rak untuk menyambut Ramadhan. Lagi pun anak anak bujang semua di Kuala Lumpur...Fazri masih di UIA Gombak semester akhir. Dia kata tak perlu banyak duit poket sebab di UIA sepanjang Ramadhan terlalu banyak makanan untuk berbuka dan bersahur orang sedekah di masjid...Alhamdulillah rezeki di bulan puasa.

Yang Fadzuan pulak tak mau ambil cuti di awal puasa sebab dia rancang nak balik berpuasa di akhir Ramadhan dan kalau boleh nak sambut Syawal di Alor Setar. Tahun lepas tak berpeluang sebab baru kerja. 

Okey cik Zah tutup kisah anak anak yang jauh di mata. Kita cerita kisah yang di depan mata nak puasa...siapa lagi kalau bukan anak dara cik Zah...Nur Kamalia Aisyah. Dah mula terpengaruh dengan iklan ho ho ho Holick..dan coco crunch untuk bersahur..


Abang KB pulak...haa..dia lah yang minta cik Zah buat Sambal Kering Ikan Bilis..khas untuk pembuka selera waktu bersahur..makan dengan nasi panas dan telur goreng mata kerbau pun sedap..


Sebenarnya cik Zah tak pandai buat sambal kering nie. Di utara memang tak ada pun sambal kering macam nie. Bila dah kawin dengan abang KB baru tau. Belajar di mana? Tak belajar di mana pun hanya mendapat petua dari seorang kenalan dan tengok dalam buku masakkan. Cuba cuba dan cuba akhirnya menjadi.



Bahan bahan
Semangkuk ikan bilis*
7-8 biji cili padi*
2 ulas bawang putih*
5 ulas bawang merah*
2 sudu makan air asam jawa
Garam dan gula seculup rasa

Cara menyediakan
1. Tumbuk semua bahan bertanda * hingga lumat
2. Panaskan sedikit minyak kemudian tumis bahan tumbuk.
3. Masukkan air asam jawa, garam dan gula.
4. Masak sehingga garing dan terasa ranggup ikan bilis.

Mudahkan?

Di kesempatan nie cik Zah mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al Mubarak buat semua pengunjung blog Dari Dapur Ezzah. 




Thursday, 19 July 2012

Bingka Berlauk

Assalamualaikum..


Lewat petang tadi cik Zah cuba buat Bingka Berlauk nie. Pertama kali cuba setelah teringin sangat nak makan. Kalau tak salah cik Zah dah lama cik Zah cari resepi Bingka Berlauk nie. Alhamdulillah setelah beli buku resepi 1 hari 1 resepi tulisan chef Hanieliza..cik Zah dah dapat resepi dan dapat rasa keenakkan bingka nie.

Kepada yang ingin cuba Bingka Berlauk nie cik Zah boleh bagi resepi supaya dapat merasakan keenakkannya..

Bahan A
1 cawan tepung gandum
3 sudu besar tepung jagung
3 cawan santan ataupun
(1cawan susu cair campur dengan 2 cawan air)
1 sudu teh garam
2 biji telur
1 sudu teh vanila
2 sudu besar keju cheddar (di parut)

Bahan B (Inti dan hiasan)
200gm daging kisar
2 biji ubu kentang (potong dadu)
1 labu bawang besar (potong dadu)
1 batang kecil karot (potong dadu)
1 sudu besar rempah kari
2 biji cili (dihiris)*
1 pokok daun bawang (dihiris)*
5 tangkai daun sup (dihiris)*
1 sudu minyak
Garam secukup rasa


Cara masak inti
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar hingga layu.

2. Masukkan daging kisar. Kacau rata kemudian masuk   serbuk kari. Kari rata sekali lagi.

3.  Masukkan kentang, lobak merah dan garam. Masak sampai lembut dan kering.


Cara membuat bingka
1. Campur tepung gandum, tepung jagung, telur, santan dan air. Blend sampai sebati. Masukkan dalam loyang 8x8 yang dah di sapu minyak terlebih dulu. Taburkan keju di atas.

2. Masukkan dalam ketuhar yang telah dipanaskan 180*c dan bakar selama 20 minit.

3. Keluarkan dan taburkan inti yang tersedia dan bakar lagi selama 25 minit atau sampai masak.

4. Sejukkan dan tabur daun bawang, daun sup, cili merah dan bawang goreng.



cik Zah rasa menu nie sesuai untuk keluarga. Memang sedap dan membuka selera. Lagi satu sukatan yang di beri betoi betoi menepati ukuran talam pembakar.

Terimakasih kepada chef Hanieliza sebab tak kedekut ilmu.

Selamat mencuba....: )

Tuesday, 17 July 2012

Nasi Lemak Halba Bersama Rendang Hati Ayam Dan Sambal Paru

Assalamualaikum..

Dah makan tengahari ke belum?..cik Zah hari nie masak nasi lemak halba. Semua nie gara gara dok tengok entri blogger masakkan popular Cik Mat Gebu..perghh memang sedap.


Bahan bahan nak masak nasi lemak nie macam masak nasi lemak yang lain. Masuk bawang merah, bawang putih, halia, daun pandan, santan dan yang CMG tambah satu sudu teh halba dan ketuk serai sebatang.


Bila masak nasi lemak tentunya ada sambal tumis. Tapi hari nie permintaan abang KB..buat rendang hati ayam dan sambal paru. 


Rendang hati ayam nie cik Zah tumis bawang merah, bawang putih, halia dan serai yang cik Zah kisar kasar. Lepas tu cik Zah tambah separuh peket rempah rendang Babas dan satu sudu makan cili kisar. Masak sampai naik minyak dan garing baru cik Zah masukkan hati ayam. Agak masak sedikit baru cik Zah masukkan santan. Akhir sekali cik Zah hiris daun kunyit gaul sebati.


Sambal paru nie cik Zah kisar bawang merah, bawang putih, halia, serai dan cili merah. Semua bahan tu cik Zah tumis sampai wangi dan garing. Sebelum tu cik Zah rebus dan hiris nipis dulu paru lepas tu yang di gaul dengan garam kunyit dan goreng. Bila bahan tumis dah wangi baru masukkan paru dan sedikit air, garam, gula dan asam keping. 


Sudah semestinya bila makan nasi lemak kena ada kacang goreng, ikan bilis, telur rebus atau telur goreng dan timun.

Kalau rasa nak cuba nasi lemak halba CMG nie tak rugi tau sebab sedap. Rendang dan sambal tu resepi cik Zah bukan resepi CMG...sedap juga tau..hihihihi

 
 

Sagu Pandan Gula Melaka

Assalamualaikum..

Sat lagi dah nak buka puasa..kesempatan yang ada cik Zah masukkan satu lagi menu yang cik Zah masak tadi untuk berbuka dengan abang KB..


Ini pun percubaan pertama cik Zah selepas cik Zah teringin sangat nak makan. Bila puasa macam macam pulak teringin dah macam budak budak..


Mula sekali cik Zah masak sagu yang siap ada perasa pandan. Sagu nie ada jual dekat pasaraya. cik Zah masak secawan sagu dengan secawan tiga suku air.

Lepas tu cik Zah tuang dalam bekas bekas kecil tu untuk memudahkan cik Zah simpan dalam peti sejuk sebab sagu gula melaka nie sedap kalau kita makan sejuk..

Okey lepas tu cik Zah masukkan air gula melaka mengikut kesukaan kita lah nak manis letak banyak. cik Zah letak sedang sedang saja...manis sangat tak boleh nanti kena sakit kencing manis..

 
Lepas tu cik Zah campur satu sudu makan tepung beras, satu sudu teh tepung jagung, semangkuk santan, separuh mangkuk air...kacau sampai tepung sebati dengan santan lepas tu baru letak atas api yang perlahan sambil kacau hingga pekat..

Dah tu masukkan dalam bekas sagu dan air gula melaka tadi menjadi lapisan atas.

cik Zah nak bagi tau kalau tak mau air gula melaka timbul macam gambar di atas kita kena masak air gula tu pekat sikit...tengok cik Zah masak air gula tak cukup pekat sebab tu air gula tu naik atas.

  
 Adunan yang cik Zah beri di atas boleh dapat 16 bekas sagu. Kalau nak buat untuk keluarga yang kecil bolehlah ikut adunan yang cik Zah beri..

Selamat mencuba..

dan..

Selamat berbuka pada yang berpuasa..



Sunday, 15 July 2012

Baldu Merah Ku Pahit

Assalamualaikum...


Aduii...apa yang tak kena pun tak tau lah. cik Zah ikut semua adunan kek nie mengikut sukatan yang di beri tapi terasa manis dan ada rasa pahit..

cik Zah rasa mungkin pewarna yang cik Zah guna dalam adunan kek nie tak bagus. cik Zah tak pernah buat kek red velvet nie tapi tekak nie teringin nak rasa sebab popular sangat...harga pun mahal. Pernah cik Zah tengok dalam entri blogger yang jual kek harga sebiji kek nie mencecah rm70...mahal tentu sedapkan..

Petang nie cik zah cubalah...tapi tak menjadi sebab pahit..InsyaAllah jika di izinkan cik Zah nak cuba lagi sampai menjadi..tak pasti sama ada pes warna merah tu atau butter milk yang tak elok..


Kek dah naik elok kembang macam cik Zah tapi rasa pahit tu menandakan kek nie ada yang tak kena..

Tak apa lah lain kali cik Zah cuba lagi...

 

Friday, 13 July 2012

Kek Pisang Tanpa Mentega dan Telur

Assalamualaikum...

Dah siap untuk minum petang. Kebetulan ada beberapa biji pisang berangan yang dah masak ranum tapi tak ada yang sudi menjamah...agaknya terlalu banyak buah buahan di rumah nie...betik ada..rambutan ada..epal pun ada.
Dari terus busuk dan masuk tong sampah cik Zah try buat kek pisang yang tak perlu mentega dan telur. Mudah sangat cara membuatnya. 


Bahan bahan
3 cawan pisang yang di lenyek
3/4 cawan gula kastor
1/2 cawan tepung beras
2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh soda bikabonat
3/4 cawan minyak (cik Zah pakai minyak jagung)
secubit garam

Cara menyediakannya
1. Dalam satu bekas masukkan gula dan pisang. Kacau rata.
2. Ayak tepung gandum, tepung beras dan soda bikabonat.
3. Campur kesemua tepung kedalam bekas pisang dan gula.
4. Kacau sebati bersama secubit garam.
5. Masukkan minyak dan kacau perlahan lahan sehingga sebati semua adunan tadi.
6. Bakar dengan suhu 170*c selama 15 minit jika menggunakan paper cup. Dan 30 minit jika acuan besar.


Tabur coklat cip di atas sebagai hiasan


Siap di bakar


Kek pisang nie cik Zah dapat resepi dari seorang makcik yang tak lokek berkongsi resepi walaupun dia menjual kek nie setiap pagi...terimakasih makcik Yam.


Pesanan...
Jika guna pisang yang manis kurangkan sikit gula..nanti kek pisang jadi terlalu manis..

Thursday, 12 July 2012

Masak Lemak Putih Pegaga Dan Sambal Udang Tempoyak

Assalamualaikum..



Dah lewat cik Zah baru nak up date entri hari nie. Orang sakit buat kerja lembab sikit lah...kita mana ada pembantu rumah boleh tolong cuci cuci lepas masak.
Okey hari nie cik Zah masak sesuatu yang tak pernah cik Zah masak. Kiranya nie resepi percubaan selepas tergoda tengok blogger masakkan popular satu Malaya..Cik Mat Gebu..CMG masak sambal udang dengan tempoyak...terliur bila tengok gambar..lepas tu Kak Ida blogger 1001 resepi pun try masak apa yang CMG masak..tentu sedap sambal udang tempoyak tu kan..


Tapi sambal udang tempoyak cik Zah nie nampak suram sikit...sebenarnya cik Zah tak berani nak letak banyak tempoyak dalam sambal tu sebab FIL cik Zah tak suka tempoyak..jadi cik Zah letak satu sudu setengah saja..bagi ada rasa sikit sikit...
Lepas tu cik Zah masak lemak putih pegaga...nie pun cik Zah baca dalam blog CMG...simple tapi sedap.


Masak lemak pegaga nie cik Zah campur dengan ubi keledek.

cik Zah rasa tak payah bagi resepi kot sebab semuanya mudah dan kacang jer nak masak apa yang cik Zah paparkan dalam entri kali nie. cik Zah masukkan gambar saja untuk tatapan pembaca..mana tau ada yang tergoda macam cik Zah...tengok gambar terus terliur..

Okey nanti cik Zah up date lagi entri nie dengan resepi..la nie dok sakit masak pun yang simple saja..

Jumpa lagi..


Warna Warni Makanan

Assalamualaikum..

Hampir empat hari cik Zah tak jengah entri..kekejangan kembali berperang di kaki kiri cik Zah. Hari nie rasa okey sikit. Walau bagaimanapun dapur tetap berasap cuma yang terhidang hanya yang ringkas saja.

Hari pertama


Mee goreng untuk makan malam. Siang hari cik Zah dengan Kamalia hanya panaskan kari tulang rusuk semalam makan dengan roti bakar. Abang KB dan FIL makan di luar. Tak tahan menanggung kesakitan pada hari pertama.

Hari Kedua


Abang KB beli durian...yummy tapi cik Zah tak berani makan banyak takut panas badan..cik Zah dok minum air halia sepanjang kejang kaki... dah macam orang berpantang siap berstokin sepanjang hari.
Tengahari tu cik Zah dan Kamalia makan nasi dengan telur mata kerbau letak kicap..potong bawang dan cili padi..perghh berselera sangat..seperti biasa abang KB dan FIL makan di luar.

Malamnya..


Adik ipar cik Zah...Shahrul Samsudin bagi pai epal yang dia buat..haa adik ipar cik Zah nie terror masak tapi dia diam tak mau tunjuk bakat terpendam tu..terimakasih adik ipar..kalau ada hantar lagi. Oopss nak komen sikit pai epal nie..hehehe serius sedap macam yang dekat Mc D.

Hari ketiga


Apo bendo nie wey..haa nie kuih seri muka pulut hitam percubaan pertama cik Zah. Semua nie gara gara dok baring baring sambil buka buku resepi..sesungguhnya cik Zah belum pernah cuba buat serimuka..
Tak menjadi sebab pulut hitam tu kena rendam semalaman tapi cik Zah rendam pagi tadi masa Kamalia nak pergi sekolah..lebih kurang 5 jam rendam dah masak. Rupanya kalau nak buat serimuka pulut hitam kita kena beli pulut hitam yang warnanya bercampur putih sedikit..
Tapi abang KB kata rasa sedap cuma pulut tu tak berapa kembang. Kalau buat pulut susu mesti sedap sangat..hehehe ayat nak ambil hati..


Macam mana pun dah tinggal separuh pelengat kami makan...bila cik Zah buat seri muka nie menjadi baru cik Zah masukkan resepi ya.. cik zah rasa kesilapan pada diri cik Zah sendiri sebab tak rendam pulut mengikut arahan..
Ini saja kot cerita cik Zah..

Jumpa lagi dengan resepi..
Doakan cik Zah sihat seperti biasa..


Sunday, 8 July 2012

Rendang Utara

Assalamualaikum...

Hari nie cuaca di Kuala Kedah mendung selepas hujan turun lebat bersama angin yang kuat di tengah malam tadi. Nak sidai baju pun seram takut tak sempat nak angkat. Bila cuaca macam nie semuanya malas..nak masak pun malas tapi tanggungjawab tetap dilaksanakan walau kaki cik Zah belum pulih sepenuhnya untuk berdiri lama..terimakasih kepada abang KB sebab banyak membantu cik Zah di dapur.

Tengahari nie cik Zah masak sejenis saja lauk untuk hidangan tengahari...rendang utara.
Dari mana cik Zah dapat nama nie jangan tanya sebab kebanyakkan kedai makan di sekitar utara nie masak rendang lebih kurang macam rendang yang cik Zah masak nie...biasa lah orang utara terkenal dengan rendang yang di campur sedikit rempah. Tapi rasa rendang tetap ada.

Nak resepi??

Bahan bahan
1 ekor ayam ~ potong 12
1/2 kilo bawang merah *
1 inci halia *
3 batang serai *
2-3 sudu besar cili mesin
2 sudu besar rempah rendang Adabi
1 sudu besar rempah kurma Adabi
1/2 sudu besar serbuk kunyit
2 mangkuk santan
2 helai daun limau purut
1 helai daun kunyit ~ dihiris halus
1 keping asam keping
Garam dan gula secukup rasa

Cara menyediakannya
1. Kisar kasar bahan bertanda *
2. Panaskan sedikit minyak tumis bahan kisar bersama rempah, cili mesin dan kunyit.
3. Masak sehingga naik bau 
4. Masukkan ayam dan sedikit santan. Biarkan air ayam keluar dan sedikit kering baru tambah kesemua santan.
5.Bila mendidih dan agak kering baru masukkan garam, gula dan sedikit serbuk perasa jika suka.
6. Bila agak kering baru masukkan daun limau purut, daun kunyit dan asam keping.
7. Kacau rata dan boleh tutup api..



Selamat mencuba...



 


Bila Orang Melaka Dah Suka Makan Gulai Orang Kedah

Assalamualaikum...

Kali nie cik Zah masak gulai ala orang utara atas permintaan suami. Kiranya sejak dua menjak nie cik Zah tak perlu nak fikir apa nak di masak sebab suami cik Zah awal awal lagi dah tolong bagi tau nak makan apa untuk menu tengahari..

Dulu masa mula mula kawin suami cik Zah kurang sangat nak makan gulai tapi bila cik Zah selalu dok masak dia pun mula suka gulai..alhamdulillah

Nak resepi ke?

Rasanya gulai orang Kedah nie sama jer dengan orang lain lain negeri kot cuma di utara gulai mesti nak pedas dan rasa masam sikit..

Bahan bahan
4-5 ketul ikan (cik Zah guna ikan jenahak)
1 peket rempah kari
1 sudu besar cili mesin
3 ulas bawang putih*
5 ulas bawang merah*
1 tagkai daun kari*
Semangkuk kecil air asam jawa (pekat sedikit)
1 sudu kecil halba campur
Semangkuk santan sederhana pekat
Bendi atau terung

Cara menyediakannya
1. Tumbuk bahan bertanda *
2. Panaskan minyak lepas tu tumis bahan tumbuk dan halba campur. Biar agak garing baru masukkan rempah dan cili mesin. Biar garing dan tambah sedikit air asam jawa.
3. Masukkan santan biar mendidih sedikit baru masukkan ikan. Tambah garam dan serbuk perasa jika suka.
4. Bila ikan nampak masak baru masukkan bendi dan tomato buah.




Selamat mencuba gulai orang Kedah

 

 

Wednesday, 4 July 2012

Hujan Dan Asam Pedas

Assalamualaikum..

Cuaca di bumi Alor Setar nie basah dek kerana hujan yang turun sepanjang hari sejak semalam. Tak adalah rasa bahang panas macam biasa. Cuma cik Zah harap tak melarat sampai banjir pulak...kesian penduduk di kawasan rendah dan yang dekat dengan sungai dan tali air.

Bila hujan perut nie memanjang memikirkan makan. Macam suami cik Zah lah pagi pagi dah sebut nak makan asam pedas Melaka tapi nak yang pedas dan masam sikit..tak perlu fikir apa nak di masak sebab dah ada orang tolong fikirkan...lega.

 Asam Pedas Melaka

Dah banyak kali cik Zah masak asam pedas masuk dalam entri nie...nak bagi resepi pun malu. Tapi nak bagi juga lah.

Bahan bahan
3 ketul ikan
5 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
Sedikit halia*
Sedikit belacan*
1/2 sudu kecil halba
1 sudu kecil lada hitam*
Semangkuk air asam jawa
2 sudu besar cili giling
1 batang serai  ~ di ketuk
7 batang bendi
Garam dan gula

Cara menyediakannya
1. Kisar atau tumbuk bahan bertanda *...cik Zah tumbuk
2 . Tumis bahan tumbuk bersama serai dan halba hingga naik bau
3. Masukkan cili giling kacau sampai masak dan naik minyak.
4. Masukkan air asam jawa, garam dan sedikit gula.
5. Setelah mendidih masukkan ikan dan sayur kesukaan. Sama ada bendi, terung atau pun tomato buah. 

Lagi satu menu tengahari nie untuk Kamalia


cik Zah guna tepung serba guna..


Tepung nie cik Zah beli dekat Prima Sri Gombak..berbaloi kita beli tepung nie tau boleh masak pelbagai jenis makanan laut, ayam dan sayur sayuran..

Selamat mencuba..

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...